Sabtu, 12 November 2011

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM kepada pelajar Ting.5

Assalamualaikum w.b.t.

Selamat menduduki peperiksaan SPM kepada semua pelajar Tingkatan 5 SMK Simpang Rengam pada hari Isnin minggu depan. Tinggal 2 hari saja lagi untuk anda membuat persediaan bagi menduduki peperiksaan SPM 2011. Segala ilmu dan nasihat telah diberikan oleh para guru kepada para pelajar Tingkatan 5. Jawablah dengan berhati-hati dan paling penting para pelajar sekalian jangan sesekali tidur kerana takut masa tidak cukup. Tidurlah secepat mungkin pada malam hari supaya para pelajar tidak mengantuk ketika menjawab periksa nanti. Ambillah peluang yang terakhir ini dengan membuat sedikit ulangkaji. Semoga berjaya ! Di sini saya ada sediakan sedikit tips atau petua untuk anda baca sebelum peperiksaan bermula.

PERSEDIAAN FIZIKAL
Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persediaan mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan. Sekiranya masih banyak yang anda perlu ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang berikut.
  1. Tidur yang cukup
    Tidur yang cukup ialah diantara 6 hingga 7 jam sehari. Kurang tidur akan menyebabkan anda rasa ngantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang.

  2. Jaga pemakanan
    Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya, "Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-baqarah : 57). Yang dimaksudkan : Sebagai yang baik di sini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Kepada ibu bapa pastikan anak-anak diberi makan makanan dari sumber yang halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.

  3. Riadah
    Jangan beriadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak 3 kali seminggu. Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Disaat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bola sepak, takraw, badminton dan sebagainya. Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yang anda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.

  4. Keselamatan
    Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan. Elakkan diri dari sebarang kecederaan. Anda pasti tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu berada dalam wad di hospital. Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Dalam musim menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada di rumah.

Isnin, 31 Oktober 2011

Permohonan secara online ke MRSM sudah ditutup

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.
Pengumuman ini khas ditujukan kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 yang memohon untuk kemasukan Tingkatan 4 tahun 2012 ke MRSM, permohonan secara online telah ditutup pada 20/10/2011 yang lalu. Anda dikehendaki menghantar butiran-butiran yang diminta seperti yang tertulis dalam borang permohonana tersebut yang telah dicetak. Pelajar-pelajar tersebut juga akan menjalani ujian IQ di MRSM yang telah para pelajar pilih. Sila ikut semua ketetapan yang telah dipersetujui. Harap maklum. Sebarang pertanyaan boleh terus berjumpa dengan guru-guru kaunselor. Sekian, terima kasih. 

Ahad, 23 Oktober 2011

7 Cara Untuk Berjaya Dalam Pelajaran

Bismillahirrahmanirrahim….....
1. Bertanggungjawab pada diri sendiri. Tanggungjawab merupakan salah satu kayu pengukur sama ada anda sudah mulai berusaha menentukan sendiri keutamaan, waktu dan sumber-sumber yang boleh dipercayai dalam mencapai kejayaan belajar.

2. Berikan tumpuan terhadap nilai dan prinsip yang anda percaya. Tentukan sendiri mana yang penting bagi anda. Jangan biarkan rakan atau orang lain menentukan apa yang penting untuk anda.

3. Dahulukan mana yang penting. Lakukanlah dulu keutamaan-keutamaan yang telah anda tentukan sendiri. Jangan biarkan orang lain atau hal lain mengganggu apa yang telah anda tetapkan.

4. Anggap anda berada dalam "win-win situation". Anggaplah rakan anda yang banyak membantu dalam belajar bersama dan banyak memberikan idea baru dalam melakukan tugasan juga sebagai saingan anda dalam kelas. Dengan cara ini, anda akan selalu terdorong untuk melakukan yang terbaik (do your best) di dalam kelas.

5. Fahami orang lain, maka mereka akan memahami anda. Ketika anda membincangkan suatu masalah akademik dengan guru, misalnya menanyakan tentang nilai matematik atau meminta tambahan waktu untuk menyiapkan kerja, tempatkan diri anda sebagai guru tersebut. Cuba tanyakan pada diri anda, apakah alasan yang paling sesuai untuk diberikan ketika berada dalam posisi guru tersebut.

6. Cari penyelesaian yang lebih baik. Apabila anda tidak memahami tajuk yang diajarkan pada hari ini, jangan hanya membaca ulang bahan tersebut. Cuba cara lain pula. Misalnya, bincangkan tajuk tersebut dengan guru, rakan, kelompok belajar atau dengan guru pembimbing (mentor) kamu. Mereka akan dapat membantu anda untuk memahami tajuk itu dengan lebih baik.

7. Cabar diri sendiri secara berkesinambungan. Dengan cara ini, pelajar akan terasa mengasyikkan, dan mungkin anda mendapat idea-idea yang cemerlang. Semoga 7 langkah ini dapat membantu anda belajar secara efektif dan berjaya dalam pelajaran.
 
Edited By Syaza Nazurah Khamsa. All Right Reserved To Me.