Assalamualaikum w.b.t.
Selamat menduduki peperiksaan SPM kepada semua pelajar Tingkatan 5 SMK Simpang Rengam pada hari Isnin minggu depan. Tinggal 2 hari saja lagi untuk anda membuat persediaan bagi menduduki peperiksaan SPM 2011. Segala ilmu dan nasihat telah diberikan oleh para guru kepada para pelajar Tingkatan 5. Jawablah dengan berhati-hati dan paling penting para pelajar sekalian jangan sesekali tidur kerana takut masa tidak cukup. Tidurlah secepat mungkin pada malam hari supaya para pelajar tidak mengantuk ketika menjawab periksa nanti. Ambillah peluang yang terakhir ini dengan membuat sedikit ulangkaji. Semoga berjaya ! Di sini saya ada sediakan sedikit tips atau petua untuk anda baca sebelum peperiksaan bermula.
PERSEDIAAN FIZIKAL
PERSEDIAAN FIZIKAL
Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persediaan mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan. Sekiranya masih banyak yang anda perlu ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang berikut.
- Tidur yang cukup
Tidur yang cukup ialah diantara 6 hingga 7 jam sehari. Kurang tidur akan menyebabkan anda rasa ngantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang.
- Jaga pemakanan
Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya, "Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-baqarah : 57). Yang dimaksudkan : Sebagai yang baik di sini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Kepada ibu bapa pastikan anak-anak diberi makan makanan dari sumber yang halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.
- Riadah
Jangan beriadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak 3 kali seminggu. Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Disaat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bola sepak, takraw, badminton dan sebagainya. Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yang anda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.
- Keselamatan
Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan. Elakkan diri dari sebarang kecederaan. Anda pasti tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu berada dalam wad di hospital. Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Dalam musim menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada di rumah.